Lerai kerinduan keluarga

KUCHING: Kelonggaran untuk merentas negeri sudah pasti melegakan banyak pihak terutama mereka yang sudah lama tidak balik ke kampung halaman, sekali gus melerai kerinduan dengan keluarga, kata Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.

Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU itu berkata, bagaimanapun setiap individu masih perlu mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Kerajaan Sarawak sudah pasti akan membuka sempadan negeri ini secara perlahan-lahan untuk membantu merancakkan sektor ekonomi dan pelancongan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) juga perlu melonggarkan SOP perjalanan memandangkan kadar vaksinasi di Sarawak agak tinggi.

“Setiap lapisan masyarakat yang akan merentas negeri dinasihati supaya sentiasa mematuhi arahan ditetapkan kerajaan. “Jangan bersikap sambil lewa memandangkan peraturan sedia ada masih dikuatkuasakan dan individu melanggarnya tetap akan dikenakan hukuman,” tegasnya.

Ahad lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran rentas negeri bermula semalam. Selaras dengan pengumuman itu, JPBN turut bersetuju membenarkan individu yang telah menerima vaksin lengkap melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada PDRM bermula Isnin.

Individu yang ingin masuk ke Sarawak pula masih perlu membuat permohonan dalam EnterSarawak; menyertakan bukti status lengkap vaksinasi; keputusan RT-PCR atau antigen dari klinik atau makmal Kesihatan negatif (sah untuk tiga hari sahaja); dan maklumat lain yang berkaitan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak