Liga Sri Aman 2021 berlangsung dalam masa terdekat

SRI AMAN: Saingan Liga Sri Aman 2021 dijangka bermula dalam masa terdekat selepas ditunda berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA), Alfred Kendim berkata tarikh sebenar pembukaan liga bagaimanapun masih belum diputuskan.

Menurutnya, perancangan awal pihaknya setakat ini adalah untuk memulakan serentak liga dengan saingan Liga Perbadanan Sukan Sarawak (SSC)-Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) 2021.

“Kita masih lagi dalam fasa perbincangan mengenai perkara ini (pembukaan liga).

“Akan tetapi, besar kemungkinan saingan Liga Sri Aman 2021 akan disambung serentak dengan Liga SSC-FAS 2021,” katanya ketika dihubungi Arena Suara Sarawak.

Beliau menambah pihaknya juga akan memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) Sri Aman bagi memulakan saingan liga berkenaan (Liga Sri Aman).

Kempen Liga Sri Aman 2021 disertai oleh sembilan pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan (kumpulan A dan B).

Lima pasukan yang berada di dalam kumpulan A ialah Merpati Team, PC United FC, Young Crocs United, Azam FC dan Japsa FC.

Manakala empat pasukan di dalam Kumpulan B terdiri daripada Datus United, Englant FC, The Cop’s FC dan Cyber Croc.

Suara Sarawak