LIGA SSC-FAS 2021: KC FC II sedia berdepan Samarahan FC

KUCHING: Baki masa tiga minggu akan digunakan sebaik mungkin oleh skuad Kuching City FC (KC FC) II bagi mempersiapkan pasukan menentang Samarahan FC pada 6 November nanti.

Pengurus KC FC II, Awang Azemi Awang Idris berkata latihan tertumpu kepada pemulihan kecergasan sepenuhnya para pemain setelah hampir sebulan tidak berlatih secara bersemuka.

“Kita sudah memulakan latihan pada 18 Oktober lepas seperti biasa di padang Sourabaya dengan memfokuskan kecergasan pemain supaya mereka dapat kembali pada tahap kecergasan terbaik.

“Kita yakin semua pemain yang sedia ada, tidak termasuk empat tonggak utama yang kini berada di skuad senior mampu menggalas tugas mereka,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Tambahnya, empat tonggak utama pasukan iaitu Amir Amri Salleh, Amirul Iqmal Bolhi, Wan Badzreen Wan Yusuf dan Diego Baggio Test kini masih bersama skuad senior (KC FC) untuk menghadapi saingan Piala Malaysia 2021.

Beliau dalam pada itu menegaskan ketiadaan kesemua empat pemain tidak akan mematahkan aksi anak buahnya sebaliknya percaya pemain simpanan sedia ada mampu mengambil alih tugas dengan baik.

KC FC II setakat ini mempamerkan rekod aksi cemerlang dengan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen Liga Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) – Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) 2021.

The City Boys Junior kini masih kekal pada kedudukan teratas Zon Selatan dengan rekod catatan sembilan mata serta menamatkan saingan pusingan pertama tanpa sebarang kekalahan.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak