MA63: Sarawak cadang pindaan baharu Perlembagaan Persekutuan lebih komprehensif

KUCHING: Kerajaan Sarawak mengusulkan cadangan pindaan baharu Perlembagaan Persekutuan yang lebih komprehensif dan mencerminkan semangat serta niat sebenar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan pindaan baharu tersebut merangkumi beberapa perkara berkaitan MA63 khususnya Perkara 1 (2) dan Perkara 160 (2).

“Pindaan tersebut juga akan memperkenalkan definisi Hari Malaysia yang tidak pernah ditakrifkan sebelum ini,” katanya pada sidang media khas mengenai MA63, di sini, hari ini.

Tegas Abang Johari, pindaan kepada definisi “Persekutuan” di bawah Perkara 160 (2) adalah sangat penting dan mesti dilakukan agar kandungan MA63 diakui dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini adalah percubaan kedua bagi pindaan Perlembagaan Persekutuan. Percubaan pertama yang dilakukan pada tahun 2019 gagal kerana tidak mendapat sokongan majoriti dua per tiga Ahli Parlimen.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak memberikan sokongan kepada pindaan tersebut kerana pada pandangan kami, ia semata-mata bersifat kosmetik dan tidak menggambarkan status khas Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub di dalam MA63,” ujarnya.

Suara Sarawak