Mesin ATM kini sampai di Gedong

SIMUNJAN: Setelah sekian lama berdepan kesukaran berikutan ketiadaan perkhidmatan perbankan, penduduk di Gedong kini akhirnya boleh memanfaatkan kemudahan mesin teler automatik (ATM) untuk melakukan transaksi kewangan tanpa perlu pergi ke Serian.

Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais berkata, kemudahan yang disediakan Agrobank bertempat di Anjung Usahawan Gedong itu sekali gus dapat merancakkan lagi ekonomi kawasan tersebut.

“Kebanyakan kampung di kawasan luar bandar kini mempunyai infrastruktur jalan raya yang baik menghubungkan ke bandar, justeru amat penting untuk kita mempunyai ATM bagi memudahkan transaksi kewangan penduduk.

“Malah saya difahamkan oleh pihak Agrobank bahawa pada permulaan ini mereka menyediakan minimum RM600,000 seminggu dan bermakna bagi tempoh sebulan ia adalah sebanyak RM2.4 juta.

“Saya sendiri agak terkejut dengan jumlah yang banyak itu, tetapi ia merupakan satu realiti. Maka saya turut memohon supaya disediakan satu lagi mesin yang dapat digunakan untuk transaksi pemindahan dan penyimpanan wang,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak selepas pelancaran ATM Agrobank di Gedong, hari ini.

Dengan menempatkan sebuah ATM di Gedong yang dilancarkan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, dijangka ia dapat memberi manfaat kepada 20,000 penduduk di kawasan sekitar.

Perkhidmaan ATM ini akan beroperasi dari pukul 6 pagi sehingga pukul 10 malam setiap hari selaras dengan peralihan ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara di Sarawak.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak