Selesai secara baik, kami redha menerima ketentuanNya. – Bapa mangsa

MUKAH: ” Kami sekeluarga menerima kejadian ini dengan redha,” itu luahan bapa, Mohd Zaril Azeem Samshul, 25, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Matu Igan, semalam.

Samshul Ikeram, 51, berkata mereka sepakat menyelesaikan perkara itu secara baik dan tidak ingin mengeruhkan lagi keadaan.

Katanya, arwah merupakan anak kedua daripada empat beradik.

“Sebelum kejadian allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Ini sudah ketentuanNya, saya menerimanya dengan redha,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Dalam kalangan rakannya, arwah terkenal dengan sikap peramah dan murah dengan senyuman.

Selain aktif dengan pelbagai aktiviti sosial dan pemotoran,  beliau juga dikenali sebagai seorang yang suka membantu rakan-rakan dalam kesusahan.

“Perkara ini sudah diselesaikan secara baik bersama semua anggota keluarga yang terlibat.

“Justeru, doakan yang terbaik untuk arwah,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan kereta jenis Produa Bezza.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak