Op SAR tertumpu di perairan Besi Buruk, Tanjung Sipang, Karang Berumput, Tukun Bass dan sekitar Pulau Lakei

KUCHING: Operasi mencari dan menyelamatkan (SAR) empat pemancing dan seorang tekong bot yang memasuki hari keenam hari ini tertumpu di 15 batu nautika dari pesisir pantai dan ke atas merangkumi kawasan perairan Besi Buruk, Tanjung Sipang, Karang Berumput, Tukun Bass dan sekitar Pulau Lakei.

Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berkata, operasi SAR yang bermula jam 7 pagi tadi dibahagikan kepada empat sektor dan keluasan sektor pencarian diperluas ke 483.29 batu nautika persegi.

Katanya, keluasan keseluruhan pencarian pada hari keenam adalah 2660.81 batu nautika persegi melibatkan 110 orang pasukan penyelamat.

“APMM telah mengatur gerak dua aset iaitu Kapal Maritim Sri Aman dan Bot Maritim Kilat 35.

“Pencarian di laut hari ini turut dibantu oleh aset daripada Pasukan Polis Marin (Bot PSC ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perikanan Laut Sarawak(Bot JPLS 20), Sarawak Coast Guard (SC Tenggiri), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pencarian turut dibantu oleh lapan buah bot pancing dari komuniti maritim yang melakukan pencarian di sebelah Timur dari kawasan perairan Besi Buruk.

Katanya lagi, pencarian melalui udara pula dibantu oleh aset dari Unit Udara Bomba (Helikopter MI 171) dan Pasukan Gerakan Udara (Helikopter AS355N).

Arah angin pada hari ini bertiup dari Barat Daya dengan kelajuan angin 40-50 km sejam serta ketinggian ombak setinggi 2.50 M sehingga 3.5 M.

Tiada sebarang petunjuk baharu ditemui setakat ini.

Mangsa yang masih hilang ialah Kamizan Zaidi (tekong), Yap Tze Kang, Ng Chin Hui, Christopher Teo dan Leo Dy Lee Jiann Tarn.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak