Padah miliki motosikal curi, lelaki dipenjara enam bulan

KUCHING: Seorang lelaki berusia 21 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas kesalahan memiliki barang curi iaitu sebuah motosikal berkuasa tinggi, September lalu.

Tertuduh Mohamad Shanirul Mohamad Sharbini, 21, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Menurut fakta kes, pengadu menyedari motosikal berkuasa tinggi miliknya yang diletakkan di beranda rumah telah hilang sekitar jam 8.30 pagi, 11 September lepas.

Selain itu, pengadu juga menyedari rumahnya telah dimasuki pencuri kerana keadaan ruang tamu berselerak dan bahagian pintu dapur juga dibuka.

Selain mendapati sebuah telefon pintar, sebuah komputer riba, serangkai kunci kereta dan dua rangkai kunci motosikal turut hilang hingga menyebabkan kerugian keseluruhan berjumlah RM17, 300.

Pada 30 September lepas, sepasukan polis telah membuat menangkap tertuduh bersama barangan kes di sebuah rumah di Jalan Arang dan hasil siasatan mendapati tertuduh dia memiliki baranga curi iaitu sebuah motosikal berkuasa tinggi milik pengadu.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwaraya ASP Hisyam Junaidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak