Pasangan kekasih mengaku bersalah buang bayi

KUCHING: Sepasang kekasih mengaku bersalah di hadapan Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, Ogos lalu.

Tertuduh yang berusia 15 dan 16 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh seorang jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua remaja berkenaan merupakan ibu bapa bayi perempuan yang ditinggalkan di dalam bakul sebuah motosikal milik orang awam selepas empat jam dilahirkan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di hadapan sebuah rumah beralamat Lorong 5A, Jalan Siol Kandis sekitar jam 5.00 pagi, 26 Ogos lepas.

Oleh itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Menurut fakta kes, Pusat Kawalan IPD Kuching telah menerima aduan seorang pengadu yang memaklumkan menjumpai seorang bayi perempuan dibaluti dengan kain merah jambu yang masih bernyawa diletakkan di atas bakul motosikal milik isterinya sekitar jam 5.00 pagi, 26 Ogos lepas.

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan seterusnya yang membawa kepada penangkapan kedua-dua tertuduh.

Pada hari yang sama, sekitar 8.50 pagi seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang dipercayai bapa bayi berkenaan ditahan pihak polis beserta bahan rampas seperti dua helai baju, sehelai seluar, seunit telefon pintar, sehelai tuala dan sebuah motosikal.

Selain itu, remaja perempuan berusia 16 tahun yang merupakan ibu bayi tersebut ditahan di kediamannya sekitar jam 10.00 pagi bersama barang kes seperti sehelai seluar dalam, sehelai baju, sehelai tuala dan sehelai seluar.

Hasil pemeriksaan dan analisa oleh Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan keputusan perbandingan DNA kedua-dua tertuduh dan bayi adalah sah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah juga menetapkan tarikh laporan akhlak kedua-dua tertuduh pada 11 November depan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak