Pemandu maut kemalangan membabitkan tiga kenderaan

SIMUNJAN: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Kuching/ Serian- Sri Aman, berhampiran Kampung Sungai Pinang di sini semalam.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Supritendan Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.15 petang, mangsa berusia 29 tahun yang memandu Toyota Yaris cedera di bahagian kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu lori berusia 44 tahun yang memandu dari arah Miri menghala ke Kuching telah bertembung dengan mangsa yang datang dari arah Serian menghala ke Sri Aman.

“Pemandu lori telah hilang kawalan semasa cuba memotong sebuah kereta dihadapanya telah berlanggar dengan mangsa yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran tersebut, lori terbabit kemudian hilang kawalan lalu merempuh bahagian hadapan sebuah kereta pacuan empat roda yang dipandu mengekori belakang kereta Toyota Yaris,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pemandu lori tersebut mengalami kecederaan patah betis kanan dan tapak kaki kanan.

Manakala, penumpang Toyota Yaris iaitu isteri dan anaknya berusia enam bulan tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan tersebut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara Sarawak