BINTULU: Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip meluangkan masa meninjau perkembangan projek pembinaan bangunan Sekolah Kebangsaan(SK) Orang Kaya Mohamad yang baharu.
Projek pembinaan dengan kos RM42.7 juta di tapak seluas tiga ekar telah bermula Februari lalu dan dijangka siap pada Februari 2023.
Pada masa ini, pembinaan bangunan baharu sekolah tersebut berada pada tahap 30 peratus siap.
Skop pembinaan merangkumi bangunan empat tingkat dan blok memgandungi 30 bilik pentadbiran dan akademik, enam bilik darjah untuk PKI, satu blok bangunan dua tingkat untuk kelas pra sekolah, satu blok kantin, data ran perhimpunan, padang sukan berbumbung, pondok pengawal, rumah sampah dan pam dan sebagainya.

Apabila siap kelak, ia mampu menampung sejumlah 714 murid sekolah termasuk murid pra sekolah.
Talib, semasa ditemui media berkata pembinaan bangunan baharu SK Orang Kaya Mohamad itu sememangnya sesuatu yang di tunggu-tunggu penduduk asal Bintulu terutamanya masyarakat Vaie.
Katanya, sekolah tersebut mempunyai kedudukan istimewa di hati masyarakat setempat ekoran ia merupakan sekolah rendah pertama
dibina di Bintulu pada 1912 semasa era pemerintahan Kerajaan Rajah Brooke.
Malah, tambahnya lagi, SK Orang Kaya Mohamad juga telah melahirkan ramai golongan profesional sehingga hari ini.
Namun, katanya, berikutan pembangunan pesat di Bintulu selain tapak sebelum ini tidak sesuai ekoran terletak di tengah pusat bandar Bintulu menyebabkan sering berlaku kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak di samping faktor daif, sekolah tersebut menumpang bangunan SK Kampung Baru untuk meneruskan sesi persekolahan pelajar.
Beliau yakin apabila siap kelak, pelajar dan pihak sekolah dapat meneruskan sesi pembelajaran dan pengajaran dalam suasana yang lebih kondusif dan selesa.
Beliau yang juga Adun Jepak berharap SK Orang Kaya Mohamad Bintulu akan terus melahirkan pelajar cemerlang di masa depan.