Pemimpin Sarawak zahir takziah atas pemergian Masing

KUCHING: Pemimpin-pemimpin Sarawak menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing.

Menteri Kanan Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sesungguhnya Sarawak kehilangan seorang pemimpin veteran yang berwibawa, komited dan berpengalaman.

Menurutnya,mendiang Masing telah banyak berjasa kepada rakyat Sarawak khususnya dan memberi sumbangan besar kepada pembangunan di negeri ini.

“Pemergian beliau satu kehilangan besar bukan sahaja kepada Sarawak, malah kepada Malaysia secara umumnya,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Sementara, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kehilangan Masing merupakan satu berita sedih untuk Sarawak kerana kehilangan seorang pemimpin besar.

Beliau juga mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan mendoakan agar rohnya bersemadi dengan tenang.

Manakala, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menyifatkan Sarawak kehilangan seorang yang mendedikasikan seluruh hidupnya untuk berkhidmat dan berjuang bagi negeri ini.

“Saya bertuah kerana menjadi rakan sekerjanya, sahabat dan mendapat manfaat daripada kebijaksanaan, jenaka dan kemesraan beliau selama ini.

“Takziah kepada keluarga mendiang (James Masing), semoga rohnya bersemadi dengan tenang,” katanya.

Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 7.05 pagi tadi di Hospital Pakar Normah, di sini akibat komplikasi selepas disahkan positif Covid-19.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak