Pemuda 23 tahun dipenjara 14 bulan, miliki dadah

KUCHING: Seorang lelaki berusia 23 tahun dijatuhi hukuman penjara 14 bulan atau denda RM7,800 oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas dua pertuduhan memiliki dadah pada Mac lalu.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Muhammad Haziq selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Bagi pertuduhan pertama, dia dijatuhi hukuman denda RM4,800 atau penjara lapan bulan, manakala untuk pertuduhan kedua dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara enam bulan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki dadah jenis ekstasi seberat 0.21 gram dan Metamphetamin seberat 3.63 gram.

Selain itu, dia juga didapati memiliki bahan terlarang berkenaan di sebuah rumah pangsapuri Zen66, Lorong Hong-Hong 28, Padawan sekitar jam 5.00 pagi, 23 Mac lepas.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) Akta yang sama.

Menurut fakta kes, sepasukan polis telah membuat satu serbuan di sebuah rumah jenis pangsapuri dan menahan tertuduh yang dipercayai terlibat dengan kegiatan dadah.

Hasil serbuan dan pemeriksaan, pihak polis mendapati satu peket plastik lutsinar yang berisi ketulan Kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 5.46 gram serta dua biji pil berwarna hijau bertulis ‘R’ yang dipercayai dadah jenis ekstasi seberat 0.81 gram.

Barang kes kemudian dibawa ke Jabatan Kimia untuk ujian dan mengesahkan bahawa bahan terlarang itu adalah dadah jenis Metamphetamin seberat 3.63 gram dan Ekstasi 0.21 gram.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak