Pendapatan Sarawak meningkat

KUCHING: Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg sekali lagi menegaskan amat penting untuk Sarawak bersatu padu, mengekalkan perpaduan serta memiliki kerajaan yang kuat.

Menurutnya, kemakmuran ekonomi hanya dapat dicapai jika rakyat bersatu dalam keadaan aman dan harmoni.

“Saya bersyukur kerana dalam tempoh tiga tahun ini, pendapatan negeri telah meningkat seperti hasil kutipan cukai jualan negeri (SST) ke atas produk petroleum berjumlah RM6.8 bilion.

“Sarawak mempunyai kemampuan dan sumber, tetapi kerajaan negeri juga mesti mempunyai dasar ekonomi yang sangat berhemah dan baik.

“Justeru, saya berharap dapat meningkatkan lagi pendapatan negeri pada tahun depan, tetapi sudah tentu saya mesti masih berada di sini untuk ia dapat direalisasikan,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Majlis Simbolik Penyerahan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 7.0 dan Pengumuman BKSS 7.0 Tambahan, di sini, semalam.

Tegas Abang Johari, tanpa perpaduan yang kuat mustahil bagi negeri ini untuk dapat menjana pendapatan yang tinggi apatah lagi dengan jumlah berbilion-bilion.

Dalam perkembangan berlainan, Abang Johari mengucapkan terima kasih kepada rakyat kerana membantu kerajaan negeri melaksanakan program imunisasi dengan baik dan berjaya.

“Setakat ini 90 peratus populasi dewasa Sarawak telah lengkap vaksin Covid-19 dan Sarawak kini memasuki Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3.

“Walaupun jumlah jangkitan kes Covid-19 berubah-ubah, ia merupakan perkara semula jadi memandangkan kebanyakan kes berada di kategori 1 dan 2.

“Selain menjadi negara pertama yang melancarkan program vaksinasi untuk remaja berusia 12 hingga 17 tahun, Sarawak juga sudah mula melaksanakan vaksinasi dos penggalak untuk mereka berusia 60 tahun ke atas serta barisan hadapan perubatan,” tambahnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak