Penggiat industri pelancongan diseru sumbang idea

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) menyeru para penggiat pelancongan di negara ini khususnya Sarawak untuk menyumbangkan idea bagi membantu menyemarakkan semula industri tersebut.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia bagi memastikan industri pelancongan di negara ini terus pulih dan berkembang seperti sebelum pandemik Covid-19.

“Saya sentiasa mengalu-alukan bantuan dan idea-idea daripada rakan-rakan yang merupakan penggerak industri pelancongan untuk membantu merancakkan industri ini khususnya di Sarawak.

“Anda merupakan tenaga dan buah fikiran yang penting bagi saya,” kata Ahli Parlimen Batang Sadong itu pada Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Kepada Penggiat Industri Pelancongan di bawah Motac di sini, malam tadi.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa pelaksanaan pembukaan rentas negeri boleh membantu memulihkan sektor pelancongan, seni dan budaya.

“Motac juga akan terus memastikan kempen promosi yang lebih agresif dan strategik dilaksanakan, bagi merancakkan kembali sektor pelancongan negara termasuk menjamin kelangsungan hidup pekerja-pekerja dalam rantaian sektor ini” jelasnya.

Mengulas mengenai bantuan, katanya Motac telah melaksanakan tujuh insentif kewangan melalui pakej bantuan yang konsisten sebanyak RM61 juta dan diberikan secara berperingkat.

“Sementara pada malam ini, kita menyampaikan bantuan kepada 24 penerima penggiat pelancongan di Sarawak merangkumi jumlah hampir RM50,000.

“Motac bersyukur dengan keprihatinan kerajaan yang sentiasa memastikan semua pihak dalam rantaian ekonomi terutama berkaitan dengan sektor pelancongan, seni dan kebudayaan diberi perhatian sewajarnya.

“Selain bantuan kewangan, Motac turut melaksanakan beberapa inisiatif berbentuk bukan kewangan kepada syarikat dan pemandu pelancong berlesen,” tambahnya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Motac Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Budaya Hii Chang Kee.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak