Penghijrahan tenaga mahir ke luar negara

MUNGKIN sekarang ini kita perlu menarik nafas lega dan optimis untuk berusaha dan melangkah, ke arah pemulihan ekonomi. Fasa endemik ini harus dimulakan dengan perancangan.

Merenungkan akan perjalanan kita menuju ke arah negara maju pada 2030, maka suatu aspirasi yang disasarkan untuk dicapai dalam tempoh kurang 10 tahun dari sekarang. Jika dilihat dari sudut masa, ia agak singkat.

Namun, ia relevan jika mengambil kira perkembangan pendidikan negara dan kemajuan teknologi yang menyumbang kepada peningkatan keupayaan modal insan. Dalam meneliti sasaran Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, perancangan yang saling berhubung kait perlu diselaraskan dengan mempertimbang pelbagai faktor agar kita bersedia dan bergerak di landasan yang betul.

Kita perlu memperhalusi hubungan ‘kesan akibat’ yang wujud di sekeliling kita, dan impaknya dalam dimensi hari ini dan akan datang. Sebagai contoh, jika kita mengenal pasti sektor pelancongan kesihatan berpotensi tinggi dalam menjana perolehan ke arah negara maju berpendapatan tinggi, perhatikan aspek-aspek utama yang perlu diberi keutamaan.

Tidak cukup dengan pelaburan dan peruntukan yang besar ke atas ketersediaan fasiliti berkaitan. Tetapi mekanisme pengukuhan bagi sumber manusia sebagai tenaga mahir yang berdaya tahan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Jika kita ingin mengambil peluang untuk bersaing di pasaran dunia dalam bidang tersebut, kepakaran yang terlatih dan cekap perlu dipupuk dari awal. Dan ia seharusnya bersesuaian dengan penglibatan keperluan tenaga pakar yang mendukung keperluan tersebut.

Namun adakah kita menguruskan sumber kepakaran dengan berkesan? Mutakhir ini, kita melihat pelbagai isu berkaitan tenaga mahir yang belum mencapai solusi bersifat menang-menang antara pihak yang berkaitan dengan berkepentingan.

Lebih membimbangkan lagi, apabila pihak luar yang mempunyai kepentingan yang lebih besar dan memiliki kuasa beli lebih tinggi akan melihat senario ini sebagai platform terbaik untuk mereka ‘memancing’ dengan mudah.

Sebagai contoh, beberapa minggu kebelakangan ini syarikat perubatan yang mewakili hospital-hospital di Singapura menggunakan media sosial untuk mengiklankan tawaran kepada doktor dan jururawat terlatih di negara ini untuk berkhidmat di rangkaian hospital awam di republik tersebut.

Kedengarannya seperti isu remeh, tetapi jika difikirkan dengan mendalam ia memberi petanda yang merisaukan. Bayangkan, jika mereka yang mahir dan boleh diharap beredar pergi meninggalkan kita? Yang tinggal cuma peralatan canggih dan pasukan bantuan yang terkial-kial menampung bebanan prestasi (KPI) yang ditinggalkan.

Ia suatu bayangan senario industri sangat bertentangan dengan aspirasi negara maju yang diilhamkan dengan potensi kita menunjangi pelancongan perubatan di rantau ini. Isu keperluan pakar adalah relevan apatah lagi apabila negara mencapai tahap kemajuan yang semakin tinggi. Ia merupakan isu tenaga berkepakaran tinggi yang sememangnya sinonim dengan keperluan industri yang berkembang ke arah berpendapatan tinggi.

Tenaga kerja ini menentukan tahap inovasi, kepimpinan dan budaya kerja yang terbentuk secara kolektif. Jika dilihat dari perspektif makro, kepakaran mereka ini akan menjadi himpunan daya saing yang dibina secara berkelompok dan harus terjaga untuk menjadi reputasi yang bersifat kumulatif. Dengan kefahaman bahawa modal insan adalah sesuatu yang tertakluk pada pelakunya, perkembangan kepakaran tidak boleh bertukar milik.

Berdasarkan dimensi masa, kepakaran mereka ini akan berkembang mengikut arus masa yang berlalu, namun kitarannya akan berhenti pada paksi masa yang tertentu akibat faktor usia, kesihatan dan kesesuaian persekitaran kerja.

Rata-rata golongan tenaga mahir profesional ini mempunyai fokus yang jelas dalam perkembangan kerjaya mereka. Dalam masa yang sama, mereka juga peka akan kewujudan peluang profesional sekali gus membawa kepada penambahbaikan taraf hidup yang sepadan dalam memenuhi kitaran usia seseorang.

Umumnya, penghijrahan pakar adalah normal kerana ia adalah sumber kapital yang bersifat tidak pegun dan mempunyai keupayaan mobiliti. Namun jika tidak ditangani dengan berhati-hati, ia boleh menjadi keadaan abnormal, sekiranya berlaku secara bukan perpindahan semula jadi.

Apatah lagi, jika ia dipengaruhi faktor tolakan mahupun tarikan yang kuat. Pemergian sekumpulan profesional bersama kepakaran yang dimiliki jelas akan menjadi keuntungan bagi organisasi atau negara yang menjadi tempat baharu bernaungnya himpunan kepakaran ini. Dan sudah pasti, akan menjadi kerugian relatif pula pada tempat yang kian kekurangan aset bernilai ini.

Penghijrahan kepakaran ini biasanya melibatkan penghijrahan individu yang disebabkan batasan keperluan yang bersesuian dan selayaknya. Keperluan yang dirasakan bersesuaian bagi golongan profesional ini lazimnya perlu memenuhi dasar kepercayaan dalam diri mereka bahawa wujudnya sistem yang sihat dalam pembangunan modal insan yang dinilai secara jelas dan saksama.

Dengan istilah “human capital flight”, penghijrahan pakar ini juga berlaku di kebanyakan negara. Ia menjadi isu serius di peringkat negara yang perlu ditangani secara berkesan tetapi agak mengambil masa untuk mengembalikan keinginan mereka untuk kembali membantu di tanah sendiri.

Puerto Rico antara negara yang menjadi contoh kehilangan profesional secara beramai-ramai disebabkan gagal menawarkan bayaran kompetitif akibat situasi kewangan yang mengerikan.

Indonesia dan India juga ada cerita tersendiri dalam kehilangan ‘ayam tambatan’ pasukan-pasukan penting dalam perkembangan industri mereka. Secara geografi, fenomena biasa yang dahulunya berlaku dengan ketara iaitu penghijrahan anak-anak muda dari desa ke kota disebabkan tarikan pekerjaan.

Dan pada era kemajuan ini, ia berlaku lagi tetapi melibatkan golongan berkepakaran ke negara luar. Jika keadaan ini tidak diuruskan dengan sewajarnya, ia mungkin akan berlarutan dan menjadi lumrah masyarakat masa depan yang semakin sukar untuk diperbaiki. Jika terus menutup mata dengan ketidakpuasan, bimbang juga diakhiri dengan budaya penghijrahan yang tidak lagi dapat diselematkan.

Bayangkan, dalam mengekalkan daya saing dan daya tahan industri tetapi sumber kerja berkualiti semakin lolos dan ketirisan. Mungkin ada baiknya kita meneliti keutamaan dalam praktis sedia ada hari ini, jika ada yang boleh diperbaiki atau diperkemaskan.

Mungkin telah tiba masanya untuk rombakan penambahbaikan polisi yang lebih saksama dan telus. Selain mengingatkan anak bangsa agar tiada rasa tamak dengan tawaran lumayan di luar negara, patriotisme dan aspirasi kemajuan digerakkan dengan kesepadanan pengurusan sumber.

Dr Aila Latif ialah Pensyarah Kanan bidang pengurusan di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Unimas.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak