PHC dipindahkan ke Jeti Jabatan Perikanan Laut

KUCHING: Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) di Jeti Awam Telaga Air bagi mencari lima pemancing yang masih hilang akan dipindahkan ke Jeti Jabatan Perikanan Laut bermula esok sehingga operasi ditamatkan.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata ia atas faktor logistik dan keselamatan petugas pasukan penyelamat.

Sementara,  beliau berkata setakat jam 5 petang, tiada sebarang petujuk baharu ditemui pasukan penyelamat walaupun keluasan pencarian diperluaskan ke 526.74 batu nautika persegi.

“Fokus kawasan pencarian merangkumi 15 batu nautika dari daratan ke atas dengan bantuan aset dari Pasukan Gerakan Udara PDRM, Unit Udara Bomba dan aset Maritim Malaysia.

“Pencarian juga dilakukan di sekitar perairan Besi Buruk, Tukun Bass, Karang Berumput, dari Tanjung Sipang ke Telaga Air, Sungai Trombol dan turut dibantu oleh lapan buah bot pancing komuniti maritim.

“Aset-aset yang bersaiz kecil pula telah diarahkan untuk bersiap sedia di Jeti Awam Telaga Air kerana fokus pencarian lebih tertumpu di kawasan 15 batu nautika ke atas dan aset-aset ini akan digerakkan sekiranya petunjuk baharu dijumpai selain mengambil kira faktor keselamatan dan cuaca yang tidak menentu ketika ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata jumlah keseluruhan pegawai dan anggota petugas pasukan penyelamat adalah seramai 110 orang.

Justeru, Zin Azman menasihatkan komuniti maritim agar tidak turun ke laut buat masa sekarang  memandangkan keadaan cuaca di laut kurang baik terutamanya dalam tempoh peralihan Monsun Timur Laut yang bermula dari bulan Oktober ini hingga Mac 2022.

Katanya Maritim  sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544 yang beroperasi 24 jam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak