Piala Malaysia 2021: Aksi terakhir KC FC di Kuching

KUCHING: Keceriaan menyelubungi pemain skuad Kuching City FC ketika ini.

Ini kerana anak-anak buah Irfan Bakti Abu Salim berpeluang merasai situasi bermain dilaman sendiri (Stadium Negeri, Petra Jaya).

Sekalipun, ia hanya melibatkan perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B saingan Piala Malaysia 2021 menentang Terengganu FC pada 10 November depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KC FC, Iswandi Ali Hassan memberitahu, tiada sebarang perubahan berhubung perkara itu setakat ini.

“Kita akan beraksi di Kuching untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan B menentang Terengganu FC pada 10 November nanti.

“Saya percaya pemain pasti gembira dengan berita itu,” ujar Iswandi ketika mengulas mengenai perkara itu.

Pemain KC FC kembali menyambung sesi latihan mereka pada 10 Oktober lalu selepas bercuti selama seminggu.

Mereka akan mengharungi tiga perlawanan persahabatan sebelum saingan Piala Malaysia 2021 disambung semula hujung bulan ini.

Untuk perlawanan persahabatan itu, mereka akan menentang skuad Johor Darul Ta’zim Bawah 21 Tahun di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (18 Oktober).

Disusuli perlawanan kedua menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi (20 Oktober).

Selain menguji kekuatan skuad Melaka United FC di Stadium Hang Jebat (23 Oktober).

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak