Pinjam along RM8,000, dipaksa bayar RM290,000

KUCHING: Seorang lelaki tempatan ditangkap di Siburan pada 25 Oktober lalu kerana menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen yang sah.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad memberitahu, tangkapan dibuat susulan seorang mangsa berumur lewat 50-an membuat laporan bahawa suspek meminta bayaran dan mengenakan faedah yang tinggi setiap bulan.

“Mangsa mendakwa bahawa dirinya membuat pinjaman sebanyak RM8000 dan dikenakan faedah setinggi 20 peratus.

“Mangsa juga diminta untuk membayar balik pinjaman dalam tempoh tiga minggu oleh lelaki yang dikenali sebagai Ah Wie itu,” jelasnya.

Tambahnya, ,mangsa telah disuruh untuk membayar jumlah keseluruhan sehingga mencecah RM290,000 atas alasan lewat membuat bayaran semula.

Sejumlah RM100,000 telah dibayar semula oleh mangsa melalui bayaran bulanan sebanyak RM7,950 ke RM8,750 sebulan sejak 2019 yang dimasukkan ke dalam akaun suspek.

Katanya, mangsa turut diminta untuk membayar RM265 sehari jika lambat membuat bayaran ansuran bulanan.

Jelasnya, kes disiasat dibawah seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Jika sabit kesalahan, denda tidak kurang daripada RM250,000 tetapi tidak melebihi daripada RM1 juta dikenakan atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, dan dalam kes kedua atau kesalahan berikutnya, hendaklah dikenakan sebatan sebagai hukuman tambahan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak