PMKS sumbang 38.2 peratus kepada KDNK

BINTULU: Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara.

Residen Bahagian Bintulu Datuk Jack Aman Luat berkata pada tahun 2020, PMKS menyumbang 38.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK).

Beliau berkata, dari aspek eksport pula, PMKS menyumbang sebanyak 48 peratus serta membuka peluang pekerjaan sebanyak 45 peratus.

Menurut beliau lagi, berdasarkan statistik pada 2020, bilangan syarikat PMKS yang berdaftar di negara ini adalah 1.15 juta.

“Daripada jumlah tersebut, hampir tujuh(7) peratus atau lebih 70,000 adalah terdiri daripada PMKS di negeri ini, katanya pada Program Sehari Bersama Usahawan anjuran bersama SME Corp Malaysia Cawangan Pejabat Negeri Sarawak dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) Sarawak, di sebuah hotel di sini.

Jack bersama Faiz merakamkan gambar dengan peserta Program Sehari Bersama Usahawan di Bintulu.

Tambah Jack lagi, kerajaan Persekutuan dan Negeri komited untuk terus membantu dan menyokong pemulihan PMKS yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Dalam konteks tersebut, katanya, Kerajaan Persekutuan dan Negeri membelanjakan jutaan ringgit untuk membantu usahawan PMKS melalui pelbagai skim bantuan yang bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit tetapi komitmen untuk berkongsi perkembangan bantuan yang dapat dimanfaatkan oleh golongan usahawan PMKS.

“Apa yang utama, golongan ini tidak putus asa dan sentiasa mendapatkan maklumat dan pengetahuan berkenaan bantuan pembangunan kapasiti dan produktiviti yang ditawarkan oleh agensi seperti SME Corp Malaysia, MINTRED, TEKUN Nasional, INSKEN, SEDC dan TM.

Pengarah SME Corp Malaysia Cawangan Pejabat Negeri Sarawak, Faiz Ramzi Sutarji hadir sama.

Suara Sarawak