Polis tahan lelaki timbul kekecohan

SAMARAHAN: Polis menahan seorang lelaki yang membuat kekecohan di Kampung Mang, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 10 pagi dari seorang pengadu berusia 50 tahun yang melaporkan kereta miliknya kemek ditendang oleh suspek berusia 25 tahun.

Katanya, suspek telah menendang kereta sehingga menyebabkan ia kemek di bahagian pintu belakang sebelah kiri semasa pengadu bersama isterinya melalui Jalan Kampung Mang.

Beliau berkata, suspek sebelum itu telah membuat kekecohan di dalam kedai runcit di kawasan tersebut.

“Suspek telah ditangkap oleh orang asam dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut

“Ujian saringan air kencing yang dibuat ke atas suspek didapati negatif dadah” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek tidak dipengaruhi dadah semasa kejadian.

Katanya, pihaknya masih menyiasat punca perbuatan suspek.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak