Pos kawalan tambahan akan dibina di Merapok, Lawas

KUCHING: Satu pos kawalan akan di bina di Merapok, Lawas bagi mengukuhkan lagi kawalan sempadan di negeri ini.

Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa berkata, pembinaan pos kawalan tersebut adalah penambahan kepada 10 pos sempadan yang akan di bina di negeri ini.

Katanya, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan peruntukan untuk membina pos baharu tersebut.

“Atas saranan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kita menjalankan inisiatif untuk membina satu pos di sana.

“Ketika ini, banyak Pati masuk dari Sabah ke Merapok, Lawas melalui jalan tikus. Justeru, kita hendak segerakan pembinaan pos ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program pandu lalu sumbangan Kasih 1 Divisyen bersama Yapeim dan Baitulmal di Masjid Salahuddin al Ayubi, Kem Penrissen, di sini hari ini.

Suara Sarawak