Remaja bebas tuduhan merogol, pendakwa gagal buktikan kes prima facie

KUCHING: Seorang remaja lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Seksyen hari ini, atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.

Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad membuat keputusan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang berusia 19.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah asrama pekerja di Jalan BDC Stutong, di sini, sekitar jam 9.00 malam, Januari 2020.

Difahamkan, bapa mangsa disarankan oleh doktor untuk membuat laporan polis bagi siasatan lanjut.

Tertuduh juga difahamkan merupakan tunang kepada mangsa dan pernah tinggal bersama di sebuah asrama pekerja sejak empat tahun lalu.

Sebelum ini, tertuduh dan mangsa telah melangsungkan pertunangan di bawah adat suku kaum Bidayuh dan bakal melangsungkan perkahwinan selepas mencapai had umur.

Mangsa juga telah melahirkan seorang bayi lelaki hasil hubungan dengan tertuduh.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 12 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Ilham manakala tertuduh diwakili Peguam Andrew Winston Kaya.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak