Rujuk peguam jika dikenakan LAD

KUCHING: Pihak pemaju (kontraktor) disaran untuk berjumpa dengan peguam atau merujuk kepada perundangan sekiranya dikenakan Ganti Rugi Tertentu Dan Ditetapkan (LAD).

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia kerana LAD tidak patut dikenakan memandangkan tempoh kontrak masih tergantung sehingga Disember tahun ini.

“Sepatutnya (dikenakan LAD) tidak berlaku sebab undang-undang ini berkuat kuasa sehingga Disember tahun ini,” katanya ketika ditemui semasa Program Jelajah Keluarga Malaysia di Kampung Kudei Baru di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian susulan rungutan pihak pemaju yang meminta kelonggaran apabila mereka dikenakan caj LAD dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengenakan pelbagai Standard Operasi Prosedur (SOP).

Menurutnya, bagi kontraktor yang melaksanakan projek kerajaan, mereka telah diberi tempoh pelanjutan masa secara automatik dan tidak akan didenda jika berlaku kelewatan dalam menyiapkan projek disebabkan oleh penularan Covid-19.

Manakala bagi kontraktor yang melaksanakan projek swasta, katanya sememangnya sudah ada akta sementara dalam tempoh Covid-19 yang menetapkan LAD digantung.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak