SAR empat pemancing dan seorang tekong diteruskan memasuki hari ketujuh

KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat pemancing dan seorang tekong bot yang belum ditemui memasuki hari ketujuh hari ini.

Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berkata, seramai 115 pasukan penyelamat terlibat dalam pencarian yang bermula jam 6.30 pagi tadi.

Katanya, pasukan penyelamat telah dibahagikan kepada empat sektor dan keluasan sektor pencarian diperluas ke 483.23 batu nautika persegi.

Jelasnya, pencarian hari ini menumpukan di sekitar kawasan perairan 15 batu nautika dan ke atas dari Tanjung Sipang merangkumi kawasan perairan Besi Buruk, Tanjung Sipang, Karang Berumput, Tukun Bass, Pulau Lakei serta sekitar Pulau Satang dan Pulau Sampadi serta Batu Mandi, Lundu.

“Pencarian turut dilakukan dipesisir pantai oleh pasukan penyelamat dari Tanjung Sipang ke sekitar Perairan Pulau Satang, dan dari Tanjung Sipang ke Tanjung Po serta Sebuyau.

“Keluasan keseluruhan pencarian pada hari ketujuh adalah 3,144.04 batu nautika persegi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dua aset APMM iaitu kapal KM Cekal dan Bot Maritim Kilat 35 telah diatur gerak dalam mencari mangsa yang hilang.

Katanya, pencarian di laut turut dibantu oleh aset daripada Pasukan Polis Marin (Bot PSC 34), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perikanan Laut Sarawak(Bot JPLS 20), Sarawak Coast Guard (SC Tenggiri dan SC Barracuda), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Tambahnya, pencarian turut dibantu oleh 10 buah bot pancing dari komuniti maritim yang melakukan pencarian di sebelah Timur Tanjung Sipang.

Sementara, katanya, pencarian melalui udara pula dibantu oleh aset dari Unit Udara Bomba (Helikopter MI 171) dan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (Pesawat CE 408).

Beliau berkata, arah angin pada hari ini bertiup dari Barat dengan kelajuan angin 40-50 km sejam serta ketinggian ombak setinggi 2.50 M sehingga 3.5 M.

Setakat jam 10.30 pagi tadi, tiada sebarang petunjuk baharu ditemui.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak