SAR mangsa bot pemancing karam diperluaskan

KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pembantu tekong, Awang Omar Awang Hamsawi yang memasuki hari keempat hari ini diperluaskan ke perairan Santubong, Pulau Satang, Pulau Sempadi sehingga ke Tanjung Datu.

Pengarah Maritim Sarawak, Zin Azman Md Yunus berkata, keluasan pencarian hari ini merangkumi kawasan seluas 450.24 batu nautika persegi.

Katanya, sebanyak 10 buah aset pasukan penyelamat terlibat dalam pencarian di laut serta pesisir pantai melibatkan sebuah aset bot Pengawal 6 Maritim Malaysia, dua aset Pasukan Polis Marin PA1 dan RH 23, tiga aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebuah aset Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) JPLS20, sebuah aset Angkatan Pertahanan Awam Malayisa (APM) serta dua aset Sarawak Coast Guard SC Barracuda dan SC Tenggiri turut terlibat bagi pencarian di laut.

Tambahnya, beberapa bot pancing komuniti maritim turut membantu melakukan pencarian.

“Bagi pencarian udara pula, aset Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PGU PDRM) Helicopter Ecureuil AS355N melakukan pencarian dari Santubong ke Tanjung Datu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara, beliau berkata, Op SAR bagi mencari empat pemancing dan tekong bot yang dilaporkan hilang 3 Oktober lalu tertumpu di perairan Karang Berumput / Tukun Bass sehingga ke perairan Tanjung Datu, 15 batu nautika dari pesisir pantai dan ke atas.

Zin Azman berkata, keluasan kawasan pencarian merangkumi seluas 381.48 batu nautika persegi.

“Pencarian melalui udara dilakukan dengan menggunakan sebuah aset JBPM Pangkalan Udara Wilayah Sarawak, Miri iaitu Helikopter MI 171 di perairan Santubong sehingga ke Tanjung Datu, 15 batu dari pesisir pantai ke bawah.

“Lapan buah bot pancing dari komuniti maritim pula akan melakukan pencarian di pesisir pantai dan dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu disebelah Timur dan Barat dari lokasi yang dilaporkan hilang,” katanya.

Beliau berkata, setakat jam 3 petang tadi, pasukan penyelamat belum menemui sebarang petunjuk baharu berkaitan dengan mangsa yang dilaporkan hilang.

Katanya, keadaan cuaca dilaporkan agak berangin dengan kelajuan 40 hingga 50kmsj dan laut berombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter.

Suara Sarawak