Sarawak benarkan rentas negeri

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bersetuju memberi kebenaran kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri, bermula esok.

Menurut JPBN, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri telah memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.

“Selaras dengan pengumuman ini, JPBN turut bersetuju memberi kebenaran untuk individu yang telah lengkap vaksinasi untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada PDRM bermula 11 Oktober 2021 (12.01 pagi),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Walaubagaimanapun kata JPBN, bagi individu yang ingin memasuki Sarawak, mereka harus menyediakan dan melaksanakan beberapa perkara.

Antaranya adalah membuat permohonan dalam EnterSarawak, sertakan bukti status ‘lengkap vaksinasi’, menunjukkan Keputusan RT-PCR atau antigen (dari Klinik Kesihatan atau Makmal Kesihatan) yang disahkan negatif (sah untuk tiga hari sahaja) dan lain-lain maklumat peribadi yang berkaitan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak