Sarawak lambang perpaduan

NEGERI Sarawak sinonim dengan perpaduan kerana memiliki pelbagai perbezaan tanpa mengira agama, kaum, bangsa dan sebagainya.

Selain itu, negeri ini juga mempunyai lebih 30 kumpulan etnik seperti Iban, Melayu, Bidayuh, Cina, Melanau, Kenyah, Kayan, Penan, Lun Bawang, Kelabit, Kedayan, Bisaya, Punan, Berawan, Lahanan, Kejaman, Sekapan, Baketan Ukit, Tabun, Sihal Tagal, Saban, Lisum, Longkiput, Kadazan dusun dan Murut.

Sehubungan itu, Sarawak juga mempunyai pecahan pada suku kaum dan membuatkan negeri ini mempunyai lebih daripada 10 bahasa kerana setiap suku kaum mempunyai pecahan bahasa yang berbeza mengikut kawasan.

Bagaimanapun, melalui perbezaan kaum, bangsa dan agama di negeri ini kita masih mampu memiliki perpaduan, bersatu dan sebagainya.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dengan semangat sentiasa saling menghormati walaupun berbeza budaya dan agama, kadangkala berbeza pendapat serta pandangan, warga Sarawak boleh hidup dalam suasana satu keluarga besar dan boleh menjadi contoh kepada masyarakat lain. Bercakap mengenai perpaduan, adakah kita tahu apa maknanya?

Atau hanya menyebut perkataan tersebut tanpa sedar makna sebenar perpaduan ini?

Perpaduan membawa maksud hubungan erat atau bersifat toleransi yang diwujudkan secara sengaja dalam kalangan kaum dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama secara jujur dan ikhlas.

Dalam erti kata lain perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta serta bangga terhadap negara.

Justeru, tanpa ada persefahaman yang tinggi dan sikap sesetengah pihak yang suka menghidupkan api perkauman perpaduan ini tidak mungkin dapat dicapai.

Kita melihat sendiri di Sarawak, bagaimana masyarakat boleh hidup dalam keadaan yang harmoni dan tidak dinafikan, berlaku salah faham.

Bagaimanapun, ia bukan satu isu yang perlu diberikan fokus kerana sejumlah besar masyarakat di negeri ini yang bersatu hati.

Lihat sahaja dengan cara mereka duduk di kedai kopi atau menjalankan perniagaan kadang-kadang masyarakat melayu menyewa gerai di premis perniagaan milik bangsa lain khususnya Cina.

Tidak cukup dengan itu, dari segi perayaan ia juga disambut bersama, bukan Melayu atau bukan Islam sanggup menempah makanan halal untuk menjemput rakan-rakan beragama Islam datang ke rumah terbuka yang dianjurkan, sebelum pandemik Covid-19.

Banyak perkara yang dapat dilakukan bersama, kejiranan di taman perumahan juga begitu dan itu bukan masalah besar di negeri ini.

Di samping itu, Kuching juga telah diiktiraf sebagai sebagai Bandar Raya Perpaduan pertama di Malaysia yang diisytiharkan pada 1 Ogos 2015 lalu.

Ini adalah bukti bahawa kita menjadi lambang perpaduan di tempat lain.

Selain Sarawak, negara Malaysia juga merupakan salah satu negara berbilang kaum yang dapat hidup dengan harmoni.

Antara kaum utama di Malaysia, ialah Melayu, Cina, India Kadazan Dusun dan Iban.

Perkara ini perlu dijaga dengan baik dan harus dipertahankan supaya kita terus menjadi contoh di mata dunia.

Perpaduan ini juga sangat penting kerana tanpa perpaduan masyarakat akan hidup dalam suasana yang tidak tenteram dan akan menimbulkan banyak masalah.

Ia juga sekali gus dapat membantukan agenda pembangunan sesebuah negara atau negeri.

Dengan masyarakat yang harmoni sudah pasti kerajaan tidak kira diperingkat Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Sarawak, mereka mampu merancang pembangunan untuk dinikmati oleh masyarakat.

Sebelum ini, Abang Johari juga menggesa rakyat Sarawak untuk memupuk semangat setiakawan bagi mengukuhkan perpaduan dan keharmonian di negeri ini.

Kata beliau, rakyat di negeri ini juga perlu bekerjasama menjauhkan negeri itu daripada politik yang membawa kepada perpecahan.

Menurutnya, segala usaha yang dirancang oleh Kerajaan Sarawak walaupun dengan peruntukan yang besar tidak menjamin kejayaan sekiranya iklim politik tidak baik.

Pergolakan politik dan perebutan kuasa antara parti-parti politik akan menyebabkan keadaan tidak stabil yang tidak sihat kepada pembangunan ekonomi.

Oleh itu, bukan sahaja masyarakat tetapi pemimpin masyarakat juga perlu mengelakkan berlaku perebutan kuasa atau mengetepikan perbezaan ideologi politik untuk memastikan kemajuan dapat dicapai dengan baik.

Kesimpulannya, generasi muda hari ini perlu terus mempertahankan perpaduan yang telah wujud di negeri ini sejak dahulu lagi.

Teruslah hidup dalam keadaan harmoni supaya kemajuan dapat dicapai dengan baik.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak