Sarawak tetap di hati

KUCHING: Pengumuman tentang kebenaran rentas negeri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob baru-baru ini umpama cahaya untuk anak-anak Sarawak khususnya yang berada di perantauan kembali ke pangkuan keluarga.

Demikian kata Pengusaha Kek Lapis Sarawak, Nur Hidayah Mohamad Mustapha yang telah sekian lama tidak pulang ke negeri ini susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu.

Menurutnya, dia menetap di Semenanjung Malaysia kira-kira 10 tahun kerana mengikut suaminya Zairuddin Khalil berkhidmat di sana.

“Kali terakhir saya balik ke Sarawak adalah Disember 2018, dan sehingga kini saya masih belum berpeluang untuk berjumpa keluarga di sana.

“Dahulu, saya akan balik ketika musim cuti sekolah atau biasanya pada hujung tahun.

“Tetapi kini untuk balik saya perlu pertimbangkan banyak perkara termasuk sesi persekolahan, prosedur operasi standard (SOP) dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Tambahnya, ketika mendengar rentas negeri dibenarkan, perasaan teruja tidak dapat dinafikan kerana dirinya juga sangat rindu dengan suasana di Sarawak.

“Anak-anak juga bertanya bila kami boleh balik ke kampung (di Sarawak) untuk berjumpa keluarga di sana, tetapi selepas diterangkan tentang keadaan ketika ini mereka memahaminya.

“Saya mempunyai empat anak tiga lelaki dan seorang perempuan, yang sulung 13 tahun dan bongsu baharu sahaja berusia 1 tahun.

“Untuk balik ke kampung, saya belum merancang buat masa ini kerana anak-anak bersekolah tetapi insya-Allah jika tiada halangan, saya merancang akan balik menjelang cuti persekolahan tahun hadapan,” ujarnya.

Hidayah yang sudah menjalankan perniagaan kek lapis Sarawak selama sembilan tahun di Johor Bahru berkata, dia sudah terbiasa hidup berdikari di perantauan dan mengambil kesempatan untuk menjalankan perniagaan sejak berpindah di sana.

“Suami saya kini berkhidmat di Batu Pahat, Johor dan saya pula menjalankan perniagaan kek lapis Sarawak di gerai di Pasar Borneo, Johor.

“Syukur alhamdulillah ia mendapat sambutan bahkan ada pelanggan dari Singapura yang datang membeli kek sebelum ini.

“Ini juga satu-satunya cara untuk saya mengubat kerinduan dengan negeri kelahiran (Sarawak) saya dan makanan di sana.

“Selain itu, bagi mengubat kerinduan untuk menjalankan aktiviti bersama-sama dengan keluarga kami juga mengambil kesempatan balik ke kampung suami di Melaka,” jelasnya.

Kata Hidayah, meskipun rezekinya lebih luas ketika berada di perantauan dengan menjual makanan Sarawak seperti laksa dan sebagainya tetapi itu belum cukup baginya.

“Bak kata pepatah hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, saya tetap akan membawa keluarga balik ke kampung di sana jika tiada halangan.

“Dari segi waran kami memang tidak mempunyai masalah, tetapi syarat untuk kemasukan ke Sarawak sebelum ini agak sukar.

“Bagaimanapun, selepas mendengar pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) tentang syarat kemasukan baru-baru ini saya berasa sangat bersyukur.

“Sekurang-kurangnya syarat yang dikemukakan kali ini lebih longgar dari sebelum ini, dan sudah pasti ia memudahkan perjalanan balik anak perantau nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hidayah berharap agar kes positif harian Covid-19 di negara ini semakin turun dan menunjukkan sesuatu yang baik. “Ini kerana jika kes terus meningkat ia akan memberikan kesan kepada para peniaga dan kesukaran kepada mereka yang merantau jauh ke negeri lain untuk balik kelak sekiranya rentas negeri tidak dibenarkan.

“Selain itu, saya juga berharap agar sesiapa sahaja yang balik berjumpa dengan keluarga dijauhkan daripada segala bahaya Covid-19 kerana saya juga bimbang akan jangkitan wabak ini,” jelasnya lagi.

Terdahulu JPBN mengumumkan individu yang ingin memasuki Sarawak masih perlu melakukan permohonan dalam EnterSarawak; sertakan bukti status lengkap vaksinasi; keputusan RT-PCR atau Antigen dari Klinik Kesihatan atau Makmal Kesihatan adalah negatif (sah untuk tiga hari sahaja); dan lain-lain maklumat yang berkaitan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak