Sarawak umum bantuan tambahan RM78.5 untuk PKS, perusahaan mikro

KUCHING: Kerajaan Sarawak mengumumkan dua lagi bantuan di bawah program Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 7.0 Tambahan bernilai RM78.5 juta bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perusahaan mikro di Sarawak yang terjejas akibat Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, antaranya ialah bantuan kewangan khas RM10,000 untuk PKS aktif yang telah berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dilanjutkan dari 31 Disember 2020 kepada 31 Mac 2021.

“Bantuan ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada 470 entiti perniagaan yang aktif dengan peruntukan sebanyak RM4.7 juta.

“Selain itu, kerajaan negeri juga akan memberi bantuan kewangan khas berjumlah RM3,000 untuk perusahaan mikro yang berdaftar dengan Perkeso setakat 31 Mac lalu.

“Bantuan kewangan yang menelan peruntukan RM73.8 juta itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 24,600 perusahaan mikro dan akan dibayar pada bulan Disember nanti,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Majlis Simbolik Penyerahan BKSS 7.0 dan Pengumuman BKSS 7.0 Tambahan, di sini, hari ini.

Menurutnya, mereka yang layak dikehendaki mengemukakan permohonan serta dokumen sokongan secara dalam talian melalui Portal Sarawak pada hujung bulan ini.

“Bermakna, kedua-dua bantuan tambahan ini akan memerlukan perbelanjaan sebanyak RM78.5 juta. Ini merupakan bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak dan ia bukan pinjaman.

“Saya berharap langkah-langkah ini dapat meringankan beban kewangan komuniti perniagaan kita sekali gus membolehkan mereka bergerak maju dalam fasa pemulihan ini,” tambahya.

Terdahulu, pada 4 Ogos lalu, Abang Johari mengumum bantuan kewangan khas RM10,000 untuk PKS aktif di Sarawak yang berdaftar dengan Perkeso sehingga 31 Disember 2020.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak