Sediakan kemudahan terbaik

TANJUNG MANIS: Kerajaan Sarawak terus komited melaksanakan agenda pembangunan untuk rakyat dengan menaik taraf jalan bagi kemudahan penduduk rumah panjang di Kampung Sebayang.

Projek berkenaan meliputi jalan ban sepanjang 1.3 kilometer (km) dari Rumah Bangga Tusok ke Rumah Saung. Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, projek yang dibiayai Kerajaan Sarawak melalui peruntukan Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM350,000 itu sudah siap sepenuhnya empat bulan lebih awal daripada jadual asal.

Pada masa yang sama katanya, kerja menaik taraf jalan berkenaan dilaksanakan oleh Syarikat Asrin Enterprise. “Projek ini merupakan salah satu bukti kesungguhan kerajaan di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat.

“Saya gembira kerana pelaksanaan projek ini siap lebih awal. Sehubungan itu, saya berharap kemudahan yang disediakan ini memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya ketika melakukan tinjauan ke tapak projek berkenaan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, projek tempat parkir kereta serta kemudahan lain termasuk Dewan Masyarakat Kampung Sebayang melalui RTP DUN Kuala Rajang dan menara telekomunikasi oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) juga sedang dalam pelaksanaan.

“Semoga semua kemudahan yang disedia oleh kerajaan ini boleh dimanfaatkan oleh penduduk Tusok dan Sebayang sepenuhnya,” katanya.

Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ismail Kasah, Penolong Jurutera Jabatan Saliran dan Pengairan Sarawak, Anuar Mahasir, Pemanca Morshidi Moris, Penghulu Abu Seman Masri, Penghulu Rosli Mat, Penghulu Kalali Klen, Penghulu Maoh Bohom,Tuai Rumah Bangga,Tuai Rumah Lema,Tuai Rumah Unjil,Tuai Rumah Balang dan kakitangan Jabatan Saliran dan Pengairan Sarawak.

Terdahulu, beliau berkesempatan menyaksikan penyerahan projek oleh Jurutera Jabatan Saliran dan Pengairan Sarawak (DID) Nurul Lisa Raduan kepada Tuai Rumah Saung.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak