Segerakan proses pulih sekolah daif

KUCHING: Isu pendidikan dan pembangunan luar bandar di Sarawak antara yang dibangkitkan dalam sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Parlimen pada Rabu.

Justeru, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni mencadangkan supaya kerajaan memperkasakan gantian penuh sekolah daif bagi 587 sekolah yang menelan kos RM 7 bilion.

Beliau sedar bahawa jumlah tersebut agak besar dan sukar dicapai di bawah satu pelan RMK sahaja tetapi kerajaan perlu memuktamadkan masa untuk gantian penuh sekolah daif di Sabah dan Sarawak.

“Ia bagi menyediakan pendidikan kondusif kepada anak keluarga Malaysia Timur,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar kerajaan memperkasakan penggunaan sains data bagi isu penggabungan sekolah di Sarawak yang memerlukan perhatian terperinci serta mempertimbangkan pemindahan sekolah tebing sungai ke tapak baharu.

Jelasnya, sebanyak 263 sekolah yang sesuai menerima penggabungan membentuk 49 sekolah gabungan dengan kos RM2.4 bilion.

“Kerajaan perlu memberi jaminan bahawa akan meningkatkan kemudahan asas seperti air dan elektrik dan pastikan sekolah berdekatan dengan penyambungan elektrik.

Beliau mengakui pembangunan luar bandar di Sarawak masih belum mencapai tahap terbaik dan banyak kesulitan dari segi kewangan serta perancangan yang tidak menepati keperluan penduduk.

Suara Sarawak