Sektor pengedaran, peruncitan dibuka sepenuhnya

KUCHING: Semua perniagaan dalam sektor perdagangan pengedaran di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak lagi memerlukan surat kebenaran beroperasi melalui Sistem Pengurusan Maklumat Covid-19 (CIMS).

Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata bagaimanapun, setiap sektor masih lagi tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) semasa, terutamanya bagi negeri-negeri yang masih di dalam PPN Fasa 2 dan 3.

“Kebenaran merentas negeri dilihat sebagai satu lagi langkah positif kerajaan ke arah merancakkan pemulihan ekonomi negara terutama ekonomi domestik dan khususnya sektor pengedaran dan peruncitan.

“Sektor perdagangan pengedaran merupakan antara aktiviti ekonomi utama dalam negara dan telah menyumbang sebanyak 16 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM311.6 bilion nilai jualan pada suku kedua 2021.

“Sebagai makluman, sektor pengedaran dan peruncitan telah dibuka sepenuhnya, namun masih perlu mematuhi SOP yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam membendung penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata penguat kuasa KPDNHEP akan meneruskan pemeriksaan dan penguatkuasaan pematuhan SOP menerusi Ops Samar.

“Pegawai penguatkuasa akan berpakaian biasa (tidak berpakaian seragam) bagi memastikan premis-premis perniagaan dan orang ramai mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mencegah penularan wabak Covid-19,” katanya.

Justeru, Alexander mengingatkan masyarakat agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan agar pembukaan semula ekonomi serta
persediaan menjalani kehidupan fasa endemik selamat.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak