Sembilan keluarga mangsa ribut terima bantuan segera

KUCHING: Sembilan ketua isi rumah yang menjadi mangsa ribut di Kampung No.6 di sini menerima bantuan segera untuk membaiki kerosakan rumah mereka.

Bantuan daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Adun N.8 Satok itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Cawangan PBB Satok, Datuk Ibrahim Baki.

Dalam ucapan ringkasnya Ibrahim berkata, ketua isi rumah menerima bantuan segera untuk membantu membaiki rumah yang terjejas ekoran angin kencang pada Isnin lalu.

“Apabila insiden berkenaan berlaku, Adun Satok meminta saya untuk melihat impak kejadian.

Akibat ribut berkenaan, bumbung rumah mangsa berterbangan menyebabkan kerosakan harta benda,” katanya ketika menyampaikan sumbangan terbabit dengan pematuhan SOP tinggi di Masjid Darul Hana Patingan di sini, semalam.

Tambah Ibrahim, meskipun sibuk menjalankan tugasan, Ketua Menteri prihatin dengan nasib penduduk di sini dan menghulur bantuan untuk meringankan beban bagi membaiki rumah penduduk terjejas.

“Kita akan bantu penduduk jika mereka ada keperluan,” jelasnya.

Justeru beliau menasihati penerima bantuan agar menggunakannya sebaik mungkin.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada penghulu yang prihatin dengan keadaan kawasan di Satok,” ujarnya.

Salah seorang mangsa ribut Mohd Azim Syamim Jamali, 25, berterima kasih atas bantuan yang dihulur kerana meringankan beban yang ditanggung keluarganya.

“Ini merupakan kejadian pertama menimpa keluarga kami.

Dengan ada bantuan segera, ia meringankan sedikit kos untuk menampung segala kerosakan,” katanya. Siti Halimah Hadri, 47, pula tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja dengan sumbangan yang diterima semalam.

“Terima kasih kerana prihatin dengan nasib menimpa kami, ia sangat melegakan kerana kami masih trauma.

“Kejadian yang berlaku merupakan pengalaman ngeri yang tidak dapat dilupakan,” katanya.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Abdul Samad Gany turut hadir.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak