Sentiasa beri perhatian pendidikan kanak-kanak

KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK), menafikan Kerajaan Negeri dan Persekutuan tidak memberi perhatian mencukupi terhadap penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak.

Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah, menangkis kenyataan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Seri Wong Soon Koh dalam artikel yang dikeluarkan pada 10 Oktober lalu. Fatimah menegaskan bahawa Kerajaan Negeri telah lama memberikan perhatian terhadap pendidikan awal kanak-kanak.

“Buktinya, pada 2017, Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak (MPAKS) telah ditubuhkan untuk melihat perkara-perkara berkaitan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak.

“Malah pada tahun yang sama, Bahagian Pembangunan Awal Kanak-Kanak yang dikendalikan oleh 10 staf telah ditubuhkan untuk memberi perhatian khusus kepada penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak,” katanya.

Ujarnya, Sarawak, melalui KWKPK, turut memberi tumpuan kepada akses, ekuiti dan kualiti pendidikan awal kanak-kanak. Katanya, melalui usaha kolaborasi dengan pelbagai agensi di peringkat persekutuan dan negeri, 98.35 peratus kanak-kanak tahun satu menghadiri pendidikan prasekolah.

“Di bawah SeDidik, kita memberi tumpuan kepada ekuiti, untuk memastikan kanak-kanak di luar bandar tidak ketinggalan dalam pendidikan prasekolah. “Ini untuk membantu melengkapkan inisiatif Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Prasekolah KPM dan Tabika Perpaduan,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, beliau sedia maklum bahawa guru memainkan peranan penting dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti untuk prasekolah berkualiti. Justeru, Kementerian telah mengadakan pelbagai kursus dan bengkel untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru dan pengasuh.

Bukan itu sahaja, pihaknya juga menganjurkan Konvensyen Prasekolah setiap tahun dengan tema tertentu berkaitan dengan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak. Jadi, bagi memastikan institusi awal kanak-kanak berkualiti,

Kementerian telah memberikan geran untuk pemenang anugerah tahunan untuk Institusi Kanak-kanak Awal yang Berkualiti. “Selain itu, bagi membantu semua institusi awal kanak-kanak yang berdaftar, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan geran tahunan RM16 juta untuk Geran Tahunan Khas (GTK) sejak 2019,” ujarnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak