Sepanjang hayat Kerajaan Sarawak mahu jaga kebajikan seluruh rakyat

MIRI: Tiada siapa yang ketinggalan – itu ungkapan keramat yang sesuai bagi menggambarkan kepekaan kerajaan negeri Sarawak dalam memastikan kebajikan seluruh anak negeri dan kualiti pelbagai aspek kehidupan mereka ditingkatkan.

Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dilihat bukan sahaja mementingkan aspek pembangunan dan kemajuan negeri, tetapi turut menitikberatkan soal bantuan serta kebajikan rakyat, khususnya terhadap golongan wanita dan kumpulan rentan di Bumi Kenyalang.

Uniknya inisiatif kebajikan yang disediakan kerajaan negeri meliputi semua segmen masyarakat, antaranya Endowment Fund Sarawak (EFS) untuk bayi, Bantuan Ibu Bersalin (BIK) bagi golongan wanita, Kenyalang Gold Card (KGC) untuk warga emas serta Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BKPBP) dan pelbagai lagi.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah ketika ditemui Bernama baru- baru ini berkata kerajaan negeri sentiasa peka dan berusaha keras memastikan segenap lapisan masyarakat Sarawak terus menikmati hasil pendapatan serta kekayaan negeri itu.

Selaras dengan usaha itu, katanya pendekatan proses pemberian bantuan juga harus berubah demi memastikan semua bantuan itu terus dinikmati rakyat, iaitu ‘membawa bantuan kepada rakyat’ dengan sasaran sekurang-kurangnya 90 peratus rakyat yang layak menerima kemudahan berkenaan.

“Dalam soal agihan bantuan, kerajaan negeri tidak boleh menunggu rakyat untuk datang meminta bantuan, sebaliknya jentera kerajaan perlu bergerak ke lapangan dan membawa bantuan itu kepada rakyat.

“We must go extra miles, jadi pemudah cara dan dekatkan bantuan kepada rakyat serta pastikan mereka menikmati semua kemudahan yang sediakan.

“Langkah intervensi kita menerusi pemantauan dan perbandingan secara bulanan. Misalnya bantuan EFS, kita banding jumlah kelahiran dan jumlah pendaftaran,

kalau data pendaftaran kurang dari jumlah kelahiran… kita turun ke lapangan, cari mereka untuk didaftarkan,” katanya.

Fatimah berkata usaha agresif dan berterusan kementerian itu bersama agensi berkaitan termasuk kerjasama integrasi dengan kementerian lain akan memacu serta memperluaskan capaian bantuan berkenaan ke setiap pelusuk negeri itu.

Mengulas lanjut, secara keseluruhan sepanjang tempoh 2019 sehingga 30 Sept tahun ini, lebih RM180 juta dana telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri menerusi bantuan-bantuan berkenaan yang memberi manfaat kepada lebih 100,000 penduduk Sarawak.

“Misalnya bagi EFS sahaja sebanyak RM96 juta dana dibelanjakan bagi tempoh sama yang meliputi lebih 65,000 anak Sarawak dan kita mahu peratusan penerima terus meningkat menjelang hujung tahun ini.

“Menerusi EFS, sumbangan RM1,000 diberikan untuk setiap anak Sarawak tanpa mengira bangsa, agama atau status sosioekonomi, malah untuk tahun ini sebanyak RM26 juta diperuntukkan,” kata Fatimah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat.

BIB pula menyediakan bayaran RM450 setiap kelahiran anak Sarawak, dan untuk rekod, sejak awal 2020 sehingga 30 Sept lepas sebanyak 33,571 permohonan diluluskan, manakala dan inisiatif KGC untuk warga emas pula, sejumlah 24,361 kad telah dicetak bagi tempoh sama.

Selain itu bagi menjamin kualiti pembangunan dan pendidikan awal kanak-kanak di Bumi Kenyalang, kerajaan Sarawak menyediakan Geran Khas Tahunan bernilai RM5,000 kepada setiap Institut Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) di negeri itu, yang kini dinikmati oleh 8,581 IPAKK.

Fatimah berkata geran itu bagi membantu IPAKK menyediakan pemakanan yang sihat dan seimbang untuk kanak-kanak, pendigitalan asuhan serta bimbingan dan lain-lain.

Seiring hasrat kerajaan negeri menyediakan lebih banyak bantuan berkualiti kepada rakyat, katanya kerajaan Sarawak sentiasa menambah baik selain meneroka inisiatif baharu untuk menyediakan lebih banyak kemudahan bagi anak Sarawak pada masa akan datang.

— BERNAMA


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak