Skuad boling padang kembali ke lapangan

KUCHING: Jurulatih skuad boling padang Sukma Sarawak Mohd. Fairus Abang Deni memberitahu tarikh untuk pemain kembali ke lapangan bagi menyambung semula sesi latihan belum dapat ditentukan.

Namun, apa yang pasti besar kemungkinan proses ke arah itu akan dilaksanakan minggu depan.

Menurut Mohd. Fairus, pihaknya perlu menunggu arahan daripada pihak Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) mahupun Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) terlebih dahulu.

“Memang pemain semua seakan tidak sabar untuk kembali ke padang bagi menjalani latihan secara normal seperti sebelumnya.

“Apa pun, kita masih menunggu arahan daripada pihak SSC dan MSNS…dan saya percaya minggu depan latihan di padang dapat dilaksanakan,” tegas Mohd. Fairus kepada Arena Suara Sarawak.

Mohd. Fairus menambah, sejak kemunculan musibah pandemik Covid-19 melanda negara hampir dua tahun yang turut menyaksikan proses latihan pemainnya sedikit terganggu.

“Hampir dua tahun negara dibayangi musibah pandemik Covid-19, dan tidak terkecuali latihan pemain sedia ada turut terganggu.

“Sehingga memaksa sesi latihan terpaksa dilaksana secara maya di kediaman pemain masing-masing,” tambah Mohd. Fairus.

Terdahulu beliau turut berharap dapat melihat kembali kelibat pemain dibawah kendaliannya akan berlatih selain beraksi sesama sendiri.

“Sudah agak lama pemain tidak mengadakan perlawanan persahabatan bersama rakan sepasukan, ia penting untuk meningkatkan prestasi masing-masing,” jelas Mohd. Fairus lagi.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak