SMK Trusan dan SMK Merapok Lawas ditutup, terdapat guru positif

KUCHING: Dua buah sekolah di Daerah Lawas iaitu SMK Trusan dan SMK Merapok ditutup sehingga 6 Oktober ini susulan terdapat guru yang dikesan positif Covid-19.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alimin berkata, seorang guru disahkan positif wabak tersebut di SMK Trusan, manakala dua orang guru di SMK Merapok.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah tegas dan proaktif jika ada pelajar, guru atau kakitangan yang disahkan positif di sesebuah sekolah.

“KPM juga sudah mengeluarkan surat bagi penutupan kedua-dua sekolah terbabit dan pihak KKM akan meneruskan pemantauan situasi semasa di sekolah yang terlibat,” katanya pada lawatan kerja di SK Pendidikan Khas Taman Matang Jaya, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berlainan, beliau memberitahu pengambilan 18,000 guru secara ‘one-off’ sedang dalam proses untuk menemu duga oleh pihak Suruhajaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) Malaysia.

“Sudah tentu keutamaan diberikan kepada Sabah dan Sarawak kerana kedua-dua negeri ini termasuk Johor mengalami masalah kekurangan guru yang paling ramai,” ujarnya.

Untuk rekod, KPM mengumum pengambilan seramai 18,000 guru secara ‘one-off’ pada Julai lalu bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru yang telah berlanjutan selama bertahun-tahun.

Turut hadir Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Dr Norisah Suhaili.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak