Sri Aman kini rancak membangun

SRI AMAN: Pelan pembangunan Simanggang perlu memberi keutamaan kepada industri pertanian serta pelancongan yang dilihat sesuai dengan kawasan itu, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata pelan yang sedang dibangunkan Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) itu juga harus memberi fokus kepada penjanaan pekerjaan kepada penduduk di situ.

“Saya cadang pada SADA beri fokus kepada pertanian kerana kita ada tanah yang luas (di Simanggang), misalnya di kawasan Banting yang sudah ada penanaman padi selain kawasan pelancongan di Batang Ai dan Lubok Antu.

“Ini masa depan kita, Sarawak mahu jadi negeri pengeluar makanan dan bahagian Sri Aman ada potensinya dan kita akan buka kawasan dan aktiviti pertanian secara besar-besaran,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran SADA di sini hari ini.

SADA yang ditubuhkan bagi memajukan pembangunan sosioekonomi penduduk di Bahagian Sri Aman sedang merangka Pelan Induk yang bakal dijadikan panduan dalam memacu pembangunan kawasan itu.

Sementara itu, Abang Johari berkata sebelum ini Sri Aman dilihat sebagai kawasan terpencil namun kini pelbagai projek pembangunan infrastruktur telah dirangka seperti Lebuh raya Pan Borneo yang menghubungkan kawasan itu dengan kawasan lain.

“Kita lihat potensi besar Sri Aman apabila kita bangunkan Lebuh raya Pan Borneo, rangkaian jalan pesisir serta pembinaan Jambatan Batang Lupar (yang akan menghubungkan Sri Aman dengan bahagian lain),” tambahnya.  — BERNAMA


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak