Takut dimarahi bapa, remaja buat laporan palsu dirompak

KUCHING: Seorang buruh diperintahkan untuk berkelakuan baik selama 12 bulan dengan bon RM1,000 dan bapa sebagai penjamin oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas kesalahan membuat laporan palsu dirompak oleh dua lelaki yang tidak dikenali di hadapan sebuah bank, September lalu.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh yang berusia 19 tahun selepas mengaku bersalah ke atas pertuduhan yang dibaca oleh seorang jurubahasa di hadapannya.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh perlu melaporkan diri kepada Pejabat Kebajikan sebanyak dua bulan sekali sepanjang tempoh bon berlangsung.

Menurut fakta kes, tertuduh mendakwa dirinya telah didatangi oleh dua orang lelaki yang tidak dikenali menggunakan sebuah motosikal di hadapan sebuah bank di Jalan Kulas di sini, sekitar jam 8.00 malam, 22 September lepas.

Dia juga mendakwa dirinya telah diacukan dengan sebilah pisau dan kedua-dua lelaki tersebut meminta tertuduh menyerahkan wang berjumlah RM500.

Tertuduh kemudian, membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya. Namun hasil siasatan mendapati tertuduh membuat laporan palsu kerana bimbang dimarahi bapanya.

Difahamkan, sebenarnya tertuduh mengeluarkan sejumlah wang untuk membeli sebuah telefon pintar namun telah digunakan untuk tujuan lain.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak