Terkejut melihat anjing melintas di bulatan, wanita terbabit kemalangan kendiri

SAMARAHAN: Seorang wanita terselamat apabila kereta jenis pelbagai guna dipandunya terbabas di KM 12 Jalan Kota Samarahan-Tabuan Jaya, di sini pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supritendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dilaporkan berlaku jam 5.30 pagi apabila mangsa, 29 tahun ketika itu sedang dalam perjalanan dari rumah hendak ke tempat kerja.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa menyedari telefon bimbitnya tertinggal di rumah dan berpatah balik dengan membuat pusingan di bulatan tersebut.

“Semasa membuat pusingan, mangsa telah hilang kawalan kerana terkejut melihat seekor anjing tiba-tiba melintas di laluan.

“Akibat kejadian tersebut, kereta mangsa telah terbabas lalu berpusing masuk ke dalam parit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Alexson berkata, mangsa telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Samarahan untuk membuat laporan.

Suara Sarawak