Teruja melancong ke Sarawak

KUCHING: Orang ramai teruja dengan keputusan Kerajaan Sarawak memberikan kebenaran untuk merentas negeri bermula 18 Oktober ini, setelah lama tidak dapat pulang ke kampung halaman dan melancong dalam negara.

Tinjauan Suara Sarawak mendapati orang ramai memberikan respons positif, namun tetap menitipkan nasihat agar masyarakat di negara ini sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak kerajaan.

Salah seorang anak Sarawak yang bekerja di Semenanjung Malaysia, Muhammad Faqrul Haikal, dia sangat teruja dan gembira untuk balik ke kampung halaman dan mengambil peluang melancong ke tanah airnya sendiri.

Muhammad Faqrul Haikal
Nur Maizatul Akmal Dollah

“Kebenaran ini telah menjadikan semua proses menjadi mudah dan kami tidak perlu mengeluarkan modal yang begitu besar untuk ujian saringan dan sebagainya.

“Dalam masa yang sama, saya percaya aktiviti ekonomi Sarawak juga akan bernafas semula dan kembali ceria seperti sebelum pandemik ,” katanya.

Tambah Faqrul, antara aktiviti yang tentunya dia tidak sabar lakukan dengan kebenaran rentas negeri adalah melancong ke tempat pelancongan yang telah lama tertangguh seperti pergi Taman Negara Mulu dan sebagainya.

“Namun orang ramai perlu sentiasa mematuhi SOP yang telah digariskan kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, Nur Maizatul Akmal Dollah berkata, kelonggaran syarat-syarat ini adalah demi kebaikan semua rakyat ketika penularan wabak Covid-19 ini.

“Dulu, amat sukar untuk balik ke Sarawak kerana prosedur yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) leceh dan melambatkan proses kemasukan ke negeri itu.

“Malah, saya sering pertikaikan Kerajaan Persekutuan membenarkan rentas negara tanpa memerlukan pas perjalanan dan kenapa Sarawak masih melaksanakan syarat-syarat seperti ini.

Kini Alhamdulillah, semua ini dipermudahkan,” katanya.

Selain itu katanya, mereka sekeluarga juga bercadang memenuhi cuti dengan bercuti di tempat-tempat menarik di Sarawak.

“Tiga tahun saya tidak balik, tidak hairanlah, hotel-hotel tumpuan pelancong akan menjadi destinasi saya kali ini dan Taman Negara serta pantai di Sarawak juga menjadi tumpuan saya ketika balik nanti,” katanya.

Ujar Maizatul, jika kerajaan melaksanakan Gelembung Pelancongan di Sarawak, dia dan keluarga sudah pasti akan ikut serta kerana banyak destinasi menarik yang boleh dilawati di Sarawak nanti.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak