Tiga lelaki ditahan merusuh di Kampung Peraya, polis giat mengesan suspek yang masih bebas

PADAWAN: Polis menahan tiga lelaki yang terlibat dalam kejadian rusuhan menggunakan senjata di Kampung Peraya, di sini.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supritendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata ketiga-tiga suspek berusia 28 tahun hingga 30 tahun ditahan dalam tiga tangkapan berasingan hari ini.

“Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan sedang giat mengesan saspek yang masih bebas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek yang masih bebas boleh menyalurkan ke Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233.

Menurut Abang Zainal, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 6 petang semalam ketika mangsa yang berusia 26 tahun bersama abang dan empat orang rakan sedang membaiki kereta di sebuah bengkel.

Katanya, mereka kemudian telah diserang oleh lebih kurang 20 orang lelaki bersenjatakan samurai, besi kuantaw, kayu hoki dan salah seorang membawa senjata menyerupai senapang patah.

“Akibat kejadian, abang mangsa berusia 32 tahun cedera ditetak di bahagian tangan kanan sementara mangsa hanya mengalami calar dan lebam kerana sempat melarikan diri.

“Kenderaan milik mangsa jenis Toyota Hilux dan kereta pelanggan yang terdapat di bengkel tersebut turut dipecahkan dan telefon bimbit milik abang mangsa telah dilarikan oleh salah seorang suspek,” katanya.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak