Tragedi bot karam: Pencarian  Awang Omar diteruskan

KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Awang Omar Awang Hamsawi yang masih hilang dalam tragedi bot karam pada Sabtu lalu diteruskan hari ini.

Pencarian turut melibatkan aset udara Air King daripada Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PGU PDRM) yang telah melakukan penerbangan ke beberapa sektor pencarian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, operasi SAR yang memasuki hari ketiga melibatkan keluasaan sektor pencarian 795.31 batu nautika persegi.

“Operasi SAR bermula seawal jam 7.22 pagi tadi setelah kapal Pengawal 6 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menuju ke sektor pencarian di perairan Pulau Satang.

“Operasi terbahagi kepada beberapa sektor, bot Penyelamat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya membuat pencarian di pesisir pantai Telaga Air sehingga ke Sempadi dan seterusnya ke Pulau Satang.

“Bot Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) membuat pencarian di kawasan berbatu Pulau Satang manakala kapal PA 1 dan PSC 4 milik Pasukan Polis Marin (PPM) pula melakukan pencarian di sektor Tanjung Datu, Talang-talang, Sempadi, Pulau Satang sehingga ke Tanjung Sipang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, sebuah bot pemancing bersama-sama empat ahli keluarga mangsa turut melakukan pencarian di kawasan berbatu di Pulau Satang pada jam 10 pagi.

Sehingga jam 11.50 pagi tadi, mangsa masih belun ditemui.

Pasukan operasi menyelamat mengadakan taklimat operasi SAR mencari Awang Omar yang memasuki hari ketiga hari ini.

Suara Sarawak