Tragedi bot pemancing karam: Mungkin ada mayat timbul hari ini

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini menjangkakan menjumpai mayat lima pemancing yang hilang selepas bot mereka karam di perairan Karang Berumput – Tukun Bass Santubong pada 3 Oktober lalu.

Pengarah Maritim Sarawak Zin Azman Md Yunus berkata ia memandangkan tempoh kehilangan kesemua mangsa sudah mencapai lima hari.

“Pada pendapat saya, semalam kita jumpa satu mayat, kita boleh jangkakan hari kelima ini ada kemungkinan mayat timbul juga.

“Kalau mayat timbul di satu tempat maka lokasi itulah yang berkemungkinan ada yang lain sekali,” katanya pada sidang media di Jeti Telaga Air, hari ini.

Menurutnya, keluasan pencarian merangkumi 526 batu nautika dengan melibatkan pelbagai agensi dan komuniti maritim setempat, dengan keseluruhan anggota terlibat seramai 110 orang.

Katanya operasi pencarian juga mencabar disebabkan keadaan angin masih kuat dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ketinggian ombak 2.5 hingga 3.5 meter.

“Pada operasi kali ini, tumpuan kita lebih di kawasan lautan.

“Jadi aset besar dan pesawat udara memainkan peranan penting untuk membuat pemantauan manakala aset kecil akan bersedia di sini dan beroperasi di pesisir pantai,” katanya.

Menjelas lanjut, Zin Azman berkata bot-bot kecil juga bersedia sekiranya ada keperluan untuk mengambil mayat masuk ke Telaga Air.

Sehubungan itu, beliau menasihati para pemancing agar tidak keluar ke laut pada masa ini memandangkan keadaan cuaca di laut kurang baik terutamanya dalam tempoh peralihan Monsun Timur Laut yang bermula bulan ini.

Suara Sarawak