TUDM bantu hantar peralatan perubatan untuk Hospital Medan di Sibu

KUCHING: Sebuah pesawat pengangkut A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah membantu menghantar kira-kira enam tan kelengkapan pelbagai peralatan perubatan untuk keperluan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia Sibu (HMATMS).

Pesawat dikendalikan oleh Juruterbang, Mejar Mohd Hafiz Mat Yusof dibantu oleh Kapten Noor Mohamad Farhan Mohamad Noor dan Kapten Muhammad Idris Ismail bersama empat kru dari No. 22
Skuadron berlepas dari Pangkalan Udara Subang (PU Subang) pada jam 7 pagi dan selamat tiba di Lapangan Terbang Sibu pada jam 8.50 pagi.

Briged Kesembilan Infantri Malaysia berkata, kelengkapan yang dihantar terdiri dari khemah DRASH, khemah Utilis, pendingin hawa mudah alih, pemampat oksigen dan lain-lain lagi.

Katanya, barangan logistik dan perubatan tersebut akan digunakan oleh petugas barisan hadapan dalam usaha melengkapkan keperluan HMATMS yang dijangka beroperasi dalam masa terdekat.

“Penubuhan HMATAMS ini bertujuan untuk membantu pihak Hospital Sibu menguruskan pesakit bukan kes Covid-19 sekaligus meringankan tugas staf perubatan di Hospital Sibu.

“Manakala penubuhan Pusat Penilaian Covid-19 (CACen) adalah untuk memberikan rawatan khusus kepada kes Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah kenyataan itu, seramai 10 pegawai dan 20 anggota dari 9 Briged turut bersama-sama turun padang bagi membuat penerimaan barangan tersebut dan sebanyak 10 trak tiga tan diatur gerakkan untuk membawa barangan perubatan ke HMATMS.

Turut hadir menyaksikan penerimaan barangan tersebut ialah Panglima 9 Briged, Brigedier Jeneral Shamshor Jaafar dan Timbalan Komander Rejimen 510 Askar Wataniah merangkap Ketua Tim Persiapan HMATMS, Leftenan Kolonel Ahmad Halim Mohd Rosli.

Anggota 9 Briged memunggah keluar barangan kelengkapan perubatan dari pesawat pengangkut A400M TUDM untuk kegunaan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia Sibu.

 

Barangan keperluan perubatan dimasukkan ke dalam trak untuk dibawa ke Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia Sibu.
Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak