Ugut bunuh jiran, lelaki dipenjara 6 bulan

KUCHING: Seorang lelaki berusia 44 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengugut membunuh jirannya menggunakan sebilah parang kerana menyembunyikan teman wanitanya.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, 44, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapannya.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 23 Mei lepas.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Brody Lopoh, 38, di sebuah rumah di Lorong 6, Jalan Ajibah Abol, kira-kira jam 1.30 petang, 20 Mei lepas.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak