Undi 18, hak dan tanggungjawab

KELAYAKAN mengundi pada usia 18 tahun (Undi 18) menandakan bermulanya era baharu pemerkasaan demokratik anak-anak muda di negara ini.  Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak lima juta pengundi baharu bakal mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), menggantikan had umur 21 tahun sebelum ini.

Persoalannya, berdasarkan situasi politik semasa, adakah kerajaan bersedia untuk melaksanakan Undi 18 dalam masa terdekat dan adakah pengundi muda ini juga bersedia?

Malah, mampukah belia di Malaysia hari ini memberi pengaruh terhadap isu-isu masyarakat dan negara? Secara umumnya, suka atau tidak, Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi dan hak setiap rakyat untuk mengundi dalam pilihan raya adalah hak asasi dalam mana-mana demokrasi dunia.

Malah, Undi 18 ini juga merupakan satu proses yang telah ditunggu-tunggu oleh golongan muda yang berminat dan berkecimpung dalam dunia politik.  Walaupun ia merupakan satu hak asasi dalam mana-mana demokrasi dunia, bagi penulis, individu yang cenderung terhadap isu politik di negara ini akan mampu memberi kesan yang baik kepada negara dan dapat memastikan masa depan mereka terbela.

Namun, ia tidak akan sama dengan remaja yang tidak minat akan isu politik dan akan mengambil jalan mudah dengan menjalankan tanggungjawab mereka sekadar untuk membuang undi sahaja.  Jika mereka belum berfikiran matang dan tidak memikirkan dari segi ekonomi dan politik negara, mereka ini akan menerima maklumat dan membentuk pandangan sendiri dan mudah untuk mengikut kata orang lain seperti mengundi atas faktor keluarga.

Golongan muda merupakan generasi yang cepat belajar dan ia mungkin disebabkan perkembangan teknologi yang membuka mata mereka untuk belajar mengenai dunia. Justeru, mereka sepatutnya diberikan peluang untuk memilih kerana mereka juga bertanggungjawab menentukan nasib negara mereka.

Namun, ia juga perlu disokong oleh kerajaan seperti Kementerian Pendidikan, kerana dari peringkat sekolah, ia merupakan titik mula bagi golongan berumur 18 tahun untuk mengetahui bagaimana proses demokrasi di negara ini.

Dari situ kita boleh mendidik mereka mengenai politik serta tanggungjawab sebagai rakyat.  Guru juga harus tidak menyebelahi manamana pihak dalam memberi pendidikan ini secara menyeluruh. Jika semua negara boleh berbuat demikian, mengapa tidak kita?

Dalam dunia berlatarkan teknologi terkini, golongan muda kita sudah mengambil tahu mengenai politik dan keupayaan mereka untuk menilai mana yang baik atau tidak.

Mereka juga sering menjadi buah mulut rakyat, bahawa adakah mereka mempunyai kadar literasi politik yang tinggi atau sudah mencapai kematangan sebagai pengundi?

Literasi politik merupakan isu utama yang membawa kepada permasalahan kerana jika rakyat kurang pemahaman dan bergantung dengan persepsi dan politik ikut-ikutan, mereka akan melalui proses politik negara dengan penuh samar dan mengakibatkan penyertaan dalam politik rendah.

Oleh itu, literasi politik ini penting kerana dengan celiknya seseorang terhadap isu, proses dan kepentingan politik, rakyat akan berusaha untuk memastikan mereka melibatkan diri dalam politik yang telus dan bersih.

Sehubungan itu, pihak yang bertanggungjawab perlu merangka strategi dan usaha dalam beberapa program khusus untuk golongan belia negara ini bagi memberi kesedaran secara berterusan mengenai hak mereka untuk mengundi dalam pilihan raya.

Program ini juga perlu mewujudkan kesedaran dalam kalangan belia mengenai peranan, penyertaan dan mengambil tahu berhubung kelayakan mengundi pada usia 18 tahun.  Kita tidak mahu remaja di negara ini masih mempunyai kadar literasi politik dan kematangan berfikir mereka pada tahap yang rendah disebabkan pendidikan di takuk lama.

Adakah ia akan menyebabkan mereka akan lebih hebat dimanipulasi pelbagai agenda asing yang amat berbahaya kepada kedaulatan negara? Namun setiap parti tidak sewenang-wenangnya berjanji manis untuk menarik sokongan mereka seperti pendidikan percuma dan lain-lain. Ini termasuk pengaruh liberalisme, sekularisme, LGBT dan banyak lagi.

Di Malaysia, walaupun ada ura-ura yang berkata bahawa Undi 18 ini akan memanfaatkan ruang kepada parti pembangkang seperti DAP dan sebagainya, namun kita juga harus belajar daripada kesilapan masa lalu.

Keputusan PRU-14 membuktikan DAP lebih konsisten mendekati anak muda sekali gus membuka peluang kepada barisan calon muda yang kemudiannya ramai menang dan menumbangkan Barisan Nasional ketika itu.

Namun, kita juga tidak boleh lupa dan belajar daripada pengajaran yang lalu, ketika itu Pakatan Harapan (PH) menawarkan manifesto tidak munasabah dengan matlamat memancing undi pada PRU-14 terutamanya anak muda.

Salah satu manifesto PRU-14 PH yang mengecewakan anak muda adalah tidak menawarkan pemansuhan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), seperti yang dijanjikan, sebaliknya manifesto PH kali ini tetap meneruskan PTPTN itu, tetapi tempoh bayaran balik kepada peminjam dilanjutkan sehingga mereka mencapai pendapatan bulanan sebanyak RM4,000 sebulan.

Yang pasti, mereka tidak harus menjanjikan manifiesto yang bertujuan untuk memancing undi sebaliknya mereka harus mengkaji keperluan kerajaan, negara dan rakyat. Bagi pengundi muda, mereka harus bijak membuat keputusan kerana ia bukan sekadar hak, tetapi tanggungjawab.

Dan SPR juga perlu melakukan hebahan dengan lebih meluas bagi memastikan lima juta pengundi baharu (Undi 18) terutama yang berada di luar bandar mendapat maklumat tepat dan terkini, sekali gus memastikan seluruh lapisan masyarakat cakna dengan Undi 18

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak