Undi18 suburkan demokrasi di Sarawak, Soon Koh hanya pandai buat tuduhan liar

KUCHING: Para belia perlu diberi peluang untuk memilih wakil mereka dengan menilai sendiri khidmat bakti yang diberikan oleh kerajaan negeri terutamanya ketika pandemik Covid-19 dari segi menyelamatkan nyawa rakyat dan memastikan kelangsungan hidup.

Kelab Penyokong GPS dalam satu kenyataan berkata, Sarawak merupakan negeri pemberi vaksin terpantas di seluruh negara dan sedang memberikan vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

“Malah, bulan ini Sarawak akan memberikan dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 kepada kumpulan sasar.

“Dari segi memastikan kelangsungan hidup pula, Sarawak satu-satunya negeri yang memperkenalkan bantuan pandemik yang besar jumlahnya melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS), yang bermula dengan pakej pertamanya pada Mac tahun lalu hingga pakej ketujuh Ogos lalu,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi membidas kenyataan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri Wong Soon Koh yang mendakwa kononnya GPS tergesa-gesa mengadakan pilihan raya negeri kerana bimbang akan pelaksanaan Undi18 yang mengubah keputusan pilihan raya.

Kelab Penyokong GPS berpendapatan kenyataan presiden PSB tersebut yang tidak lebih daripada tuduhan liar dan tidak disokong oleh fakta.

“Kerajaan GPS mengalu-alukan penyertaan para belia dalam proses demokrasi, yang memungkinkan suara mereka didengari serta menyuntik kematangan politik dalam iklim politik semasa.

“Kami kesal kerana Soon Koh cuba menyalahkan GPS dengan mengadakan pilihan raya negeri sedangkan hakikatnya kita semua tahu bahawa ia harus diadakan secepat mungkin agar kita tidak memasuki ‘masa tambahan’ yang ketiga,” jelasnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak