Usahawan dinasihati tidak putus asa

BINTULU: Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) merupakan tulang belakang ekonomi negara.

Residen Bahagian Bintulu Datuk Jack Aman Luat berkata, pada 2020, PMKS menyumbang 38.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK).

Menurutnya, dari aspek eksport pula, PMKS menyumbang sebanyak 48 peratus serta membuka peluang pekerjaan sebanyak 45 peratus.

“Berdasarkan statistik pada 2020, bilangan syarikat PMKS yang berdaftar di negara ini adalah 1.15 juta.

“Daripada jumlah itu, hampir tujuh peratus atau lebih 70,000 terdiri daripada PMKS di negeri ini, katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Sehari Bersama Usahawan anjuran SME Corp Malaysia Cawangan Pejabat Negeri Sarawak dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (Mintred) di sebuah hotel di sini, kelmarin.

Tambah Jack lagi, Kerajaan Persekutuan dan Sarawak komited untuk terus membantu dan menyokong pemulihan PMKS yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Dalam konteks tersebut katanya, Kerajaan Persekutuan dan Sarawak membelanjakan jutaan ringgit untuk membantu usahawan PMKS melalui pelbagai skim bantuan yang bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit tetapi komitmen untuk berkongsi perkembangan bantuan yang dapat dimanfaatkan oleh golongan usahawan PMKS.

“Yang utama, golongan ini tidak putus asa dan sentiasa mendapatkan maklumat serta pengetahuan mengenai bantuan pembangunan kapasiti dan produktiviti yang ditawarkan oleh agensi seperti SME Corp Malaysia, Mintred, Tekun Nasional, Insken, SEDC dan TM.

Pengarah SME Corp Malaysia Cawangan Pejabat Negeri Sarawak Faiz Ramzi Sutarji turut hadir.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak